Posted by:

Comments:

Post Date:

By Hafeezzur Muzamir from TV Sarawak

PETALING JAYA, 6 Mac 2025: Syarikat Evolvelectric Motors Sdn Bhd secara rasminya memperkenalkan pacuan empat roda mewah JAC T9 ‘double cab’ di Malaysia dengan menampilkan dua varian enjin iaitu pembakaran dalaman (ICE) dan model kenderaan bateri elektrik (BEV).

Ketua Pegawai Eksekutif Evolvelectric Motors, Lau Yit Mun berkata, pengenalan JAC T9
meletakkan tanda aras baharu bagi pasaran automotif di Malaysia kerana menawarkan model pacuan empat roda yang dilengkapi teknologi canggih dan ruangan dalaman mewah.

Jelas beliau, varian T9 diesel 2.0L menjadi pacuan empat roda tunggal di Malaysia yang mencapai penarafan lima bintang bagi ujian keselamatan Australasian New Car Assessment Program (ANCAP) mengikut protokol terkini.

Sementara itu, bagi T9 BEV pula, katanya ia menjadi pacuan empat roda elektrik pertama yang diperkenalkan di Malaysia.

“JAC T9 direka untuk semua warga Malaysia sama ada untuk perniagaan, keluarga atau kegunaan harian.

“T9 menawarkan ketahanan kenderaan bagi kegunaan harian dengan ciri keselamatan untuk keluarga serta ia bergaya dengan pengalaman pemanduan tersendiri.

“Rekaan yang menawan turut menjadi pelengkap sebagai sebuah pacuan empat roda paling canggih yang pernah dibangunkan sepanjang sejarah 55 tahun JAC Motors dalam membangunkan industri kenderaan perdagangan ringan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran JAC T9 di sebuah pusat beli – belah di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Yit Mun berkata, harga jualan bagi JAC T9 bermula daripada RM119,888 dengan pembeli akan menikmati sehingga lapan tahun jaminan enjin.

” Harga permulaan bagi varian diesel T9 dari RM119,888 (Semenanjung Malaysia), tidak termasuk insurans.

“Bagi T9 BEV pula, harga jualannya dari RM199,888 (Semenanjung Malaysia) dengan jaminan selama enam tahun atau 200,000 kilometer (KM) jaminan bagi bateri mengikut mana-mana yang sampai terlebih dahulu,” katanya.

Beliau menambah, varian diesel T9 dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat silinder turbodiesel yang menjana sebanyak 125kW dan 410Nm dari 1,500rpm hingga 2,500rpm.

Ia digandingkan dengan transmisi automatik ZF lapan kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda belakang.

Manakala bagi T9 BEV 4×4 pula, ia dikuasakan oleh bateri LFP 88kWh dengan jarak pemanduan sehingga 340KM untuk sekali pengecasan penuh.

JAC T9 akan dipamerkan di Pusat Beli- belah High Street (New Wing) 1Utama dari 6 hingga 9 Mac ini dengan pengunjung yang bertuah akan menikmati percutian percuma ke Perth, Australia. – TVS

Source & Full Article: https://www.tvsarawak.my/2025/03/06/jac-t9-dilancarkan-di-malaysia-harga-bermula-rm119888/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *