Posted by:

Comments:

Post Date:

By Izwaashura Sadali from Paultan

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melalui Facebook telah mendedahkan bahawa JAC Motors, pengeluar kenderaan komersial dari China, merancang untuk melabur di Malaysia.

“Hari ini (semalam), JAC Motors, peneraju global dalam pembuatan kenderaan komersial, telah membincangkan rancangan pelaburan meraka di Malaysia. Pelaburan ini bukan sahaja akan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, tetapi juga memperkukuh keupayaan tempatan dalam pengeluaran trak pikap dan kenderaan komersial elektrik serta hibrid,” kata Zafrul.

Walaupun JAC Motors terkenal terutamanya dengan kenderaan komersialnya termasuk trak pikap, van serta trak penghantaran, syarikat itu juga ada menawarkan kenderaan penumpang iaitu model sedan, hatchback dan SUV.

Tambah Zafrul, “Dengan rancangan JAC Motors untuk menjadikan Malaysia hab bagi pengeluaran dan eksport kenderaan komersial ke ASEAN, negara kita kini berada di barisan hadapan untuk memacu teknologi hijau dan meningkatkan daya saing dalam industri automotif. Pelaburan ini juga akan menyumbang kepada pembangunan rantaian bekalan automotif tempatan dan mengukuhkan industri komersial negara.”

Walau bagaimana pun, beliau tidak menyebut lokasi fasiliti pemasangan tempatan (CKD) yang bakal dibina itu. Adakah JAC Motors merancang untuk membawa masuk model trak pikap T9 ke pasaran Malaysia? T9 telah pun dibawa masuk ke Afrika Selatan, Australia dan ada laporan menyebut kebarangkalian ia akan tiba di Malaysia.

Untuk pasaran global, trak pikap double-cab ini ditawarkan dengan beberapa varian enjin. Bagi enjin pembakaran dalaman (ICE), ia diberikan unit 2.0 liter empat-silinder turbo-diesel dengan hamburan kuasa 125 kW fdan tork 410 Nm. Satu lagi versi enjin ICE ialah 2.0 liter empat-silinder turbo-petrol dengan kuasa 168 kW dan tork 380 Nm.

Manakala untuk varian kenderaan elektrik-bateri (BEV), ia hadir dengan pek bateri LFP berkapasiti 88 kWh yang dikatakan mampu mencapai jarak gerak hingga lebih 400 km bagi satu pengecasan tunggal. Untuk varian Plug-in Hybrid, ia hadir dengan kombinasi enjin 2.0 liter turb0-diesel dengan pek bateri LFP 26.8 kWh dan dikatakan mampu memberikan penjimatan bahan api iaitu sekitar 30 km bagi setiap liter. Kesemua varian ICE dan PHEV ini dilengkapi transmisi automatik ZF lapan-kelajuan.

Source & Full Article: https://paultan.org/2024/09/27/jac-motors-bakal-melabur-di-malaysia-bagi-fasiliti-ckd-hab-eksport-untuk-asean-tengku-zafrul/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *